Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, berdasarkan kepada kedudukan semasa, acara beregu campuran merupakan sandaran paling realistik kerana dua pasangan iaitu Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Goh Soon Huat-Shevon Lai berada dalam kelompok 10 terbaik.

Katanya, beregu lelaki juga berada pada kedudukan yang baik dengan kesemua pasangan menunjukkan peningkatan positif dalam tempoh enam ke sembilan bulan kebelakangan ini, selain, BAM percaya keadaan akan bertambah baik menjelang aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia sentiasa memiliki peluang yang sama seperti Datuk Lee Chong Wei dan dia sememangnya menjadi perancangan jangka sederhana kami untuk masa akan datang.

“Perseorangan wanita pula, Goh Jin Wei berada pada landasan yang baik, tetapi, Soniia (Cheah) kita perlu percepatkan proses untuk dirinya kerana kedudukan pemain itu ketika ini memberi kesukaran kepadanya semasa pertandingan,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, dekat sini.

Mengulas mengenai beregu wanita pula, Choong Hann memberitahu, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean berada di kedudukan yang baik dan mereka menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak hujung tahun lalu.

“Vivian (Hoo)-Yap (Cheng Wen) merupakan gandingan hybrid, kami akan berkerja keras untuk membantu proses perkembangan mereka segera bagi mendepani aksi kelayakan Sukan Olimpik yang akan bermula tidak lama lagi,” ujarnya.