Pemain itu yang didapati positif doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu telah menyaksikan sendiri ujian sampel B dilakukan di makmal Hospital Universiti Oslo, Norway pada 5 November lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertarikh 7 November yang memaklumkan keputusan daripada ujian sampel B berkenaan.

Bagaimanapun, Mohamad Norza memberitahu, pihaknya masih belum boleh mengumumkan nama pemain berkenaan berikutan terikat dengan peraturan ditetapkan oleh BWF yang meminta agar ia tidak didedahkan sehingga selesai proses siasatan dijalankan oleh badan induk badminton dunia tersebut.

Malah Mohamad Norza juga enggan mendedahkan dari mana dexamethasone tersebut hadir, selain mengakui pemain itu telah menafikan mengambil bahan terlarang berkenaan.

“Keputusan ujian mengesahkan kehadiran bahan dexamethasone dalam sampel itu, malah kami juga percaya atlet tersebut tidak pernah terfikir mengambil jalan mudah untuk berjaya.

“Buat masa ini pemain tersebut telah digantung sementara sehingga selesai proses pendengaran daripada panel bebas BWF yang akan menetapkan tarikh bila ia akan berlangsung.

“Kami juga akan meminta agar proses pendengaran tersebut dijalankan dalam tempoh secepat mungkin, malah BAM telah sebulat suara bersetuju untuk menyediakan segala aspek yang diperlukan bagi membantu atlet berkenaan.

“Kami juga berharap ada keputusan yang positif diperoleh menerusi proses pendengaran yang akan dijalankan oleh BWF,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat BAM, Bukit Kiara dekat sini, semalam.

Sementara itu, Chong Wei yang ditemuramah oleh stesen televi­syen Astro Arena, kelmarin me­ngakui tertekan sejak dikaitkan dengan isu doping tersebut.

“Saya telah beraksi sebagai pemain nombor satu dunia dalam 100 hingga 200 pertarungan dan tidak pernah diuji positif. Inilah kali pertama saya diuji positif. Sudah sebulan saya tidak pernah tertekan seperti ini. Saya harap isu ini diselesaikan dengan segera,” kata Chong Wei.

Berdasarkan peraturan yang te­lah ditetapkan oleh BWF, sekiranya atlet tersebut bernasib baik maka tiada hukuman akan dikenakan sebaliknya hanya amaran keras sahaja diberikan, namun semua itu bergantung kepada senario bagaimana kesalahan berkenaan berlaku.

Seandainya kesalahan dilakukan amat berat hukuman penggantungan maksimum akan dikenakan iaitu selama dua tahun dan tidak dibenarkan menjalani sebarang aktiviti berkaitan badminton.

Sumber daripada BWF memberi­tahu panel tersebut terdiri daripada empat orang yang tiada kaitan de­ngan BAM atau badan induk badminton dunia tersebut. Malah ahli panel juga bukan dalam kalangan rakyat Malaysia dan selepas keputusan dicapai satu kenyataan akan diumumkan menerusi laman web BWF.

Sekiranya hukuman yang dikenakan terlalu berat buat atlet tersebut, maka pemain terlibat dibenarkan untuk membuat rayuan.