Menurut pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu, termasuk di Rio, Brazil bulan lalu, dia mungkin menyertai temasya sukan empat tahun sekali itu jika prestasinya mengizinkan.

Namun, katanya, Sukan Olimpik Tokyo bukan tumpuan utamanya ketika ini sebaliknya sedang fokus untuk menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland tahun depan.

“Ketika ini juga tumpuan saya adalah untuk beraksi dengan baik dalam Terbuka Jepun yang akan berlangsung pertengahan bulan ini, dan selepas itu Kejohanan Badminton Dunia 2017,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas diraikan dalam majlis bersama kerajaan negeri dan peminat bersama-sama dua lagi pemain badminton negara iaitu Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Ditanya mengenai perancangannya sekiranya memilih bersara, Chong Wei berkata, dia akan meneliti sumbangan yang boleh diberikan dalam membangunkan sukan badminton negara sekali gus melahirkan lebih ramai pelapis yang dapat membawa cabaran negara di pentas antarabangsa.

Dalam pada itu, Chong Wei sekali lagi melahirkan keyakinan terhadap Iskandar Zulkarnain yang disifatkannya mampu mengambil alih kedudukannya selaku pemain perseorangan utama negara.

“Buat masa ini, Iskandar merupakan pemain terbaik dan dia mempunyai masa depan cerah untuk menyerlah pada masa depan,” katanya.