Namun, debaran itu akhirnya lenyap apabila pemain No.1 dunia itu berjaya menewaskan pemain muda Jepun, Kenichi Tago 21-19,21-19 dalam masa 47 minit.

Menurut Ah Chai, hampir 30 orang yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan berkumpul di rumahnya untuk sama-sama menyaksikan perlawanan akhir itu melalui kaca televisyen.

Malah, katanya, sejak awal permainan beliau sentiasa berdebar apabila melihat permainan Tago yang nampak agresif dan bijak bermain di jaring.

"Hasil pemerhatian saya penguasaan Chong Wei juga hanya 55-45 ke atas pemain berusia 20 tahun yang turut memiliki kemahiran melakukan pukulan kencang itu.

"Memang saya nampak Chong Wei macam susah nak menang tapi saya yakin beliau boleh lakukan dengan corak permainan yang penuh ketenangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Chong Wei kini sebaris dengan juara Seluruh England dari Malaysia iaitu Wong Peng Soon, Eddy Choong, Tan Aik Huang dan Mohd. Hafiz Hashim yang menjulang trofi itu kali terakhir untuk negara pada 2003.

Dalam pusingan awal, Chong Wei mudah menewaskan pemain India, Chetan Anand 21-15, 21-16 sebelum menyingkirkan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia 21-11, 21-17.

Beliau diberi saingan sengit pemain muda Korea Selatan, Shon Wan-ho 14-21, 21-14,21-14 pada suku akhir sebelum menumpaskan pemain Denmark, Peter Gade Christensen pada separuh akhir 21-17,21-14.

Ah Chai menambah, kini harapan Chong Wei lebih terarah untuk membantu Malaysia menghadapi saingan Piala Thomas di Kuala Lumpur, Mei ini.

"Saya sekeluarga akan menyokong Chong Wei dalam setiap perlawanan pada Piala Thomas nanti sebagai pemangkin semangat kepadanya.

"Selain itu saya berharap Chong Wei juga akan merangkul Kejuaraan Dunia yang belum pernah dikecapi sepanjang kariernya," ujarnya