Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai mengakui sangat terkejut dengan keputusan MSN itu apabila memutuskan untuk meletakkan Jin Wei di bawah tahap 3 dan ia dibuat berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan mereka.

“Jin Wei merupakan antara sandaran untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kami merasakan dia tidak seharusnya diletakkan di bawah tahap tiga.

“Kami tidak pasti mengapa Jin Wei diletakkan di sana tetapi kami akan cuba berbincang semula dengan MSN supaya dimasukkan ke dalam tahap satu atau dua.

“Bagi kami MSN seharusnya menjalankan penilaian berbeza bagi setiap sukan kerana sebagai contoh sistem kelayakan serta ranking buat badminton tidak sama dengan sukan-sukan lain,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, di Axiata Arena, di sini hari ini.

Menerusi sistem itu seramai tujuh pemain badminton ditempatkan di bawah tahap dua, 10 pemain di tahap tiga manakala empat lagi pemain di tahap empat. - UTUSAN ONLINE