Dalam satu ke­nyataan hari ini, BAM menyatakan mereka terbuka kepada kritikan yang membina daripada media, namun laporan tersebut memberikan gambaran bahawa pengurusan BAM berada dalam keadaan kucar kacir.

Artikel berjudul Total Revamp and House Cleaning yang disiarkan oleh sebuah akhbar hari ini mendakwa pengurusan cara lama dan struktur yang kaku, gagal memberikan kelebihan pada sukan.

Mereka meminta BAM yang kuno agar segera berubah bagi membolehkan kedudukan badminton negara kembali meningkat.

BAM menjelaskan, persatuan itu terdiri daripada bekas pemain, yang membuat keputusan teknikal dalam pemilihan pemain dan kaedah latihan, sekali gus menafikan tuduhan bahawa Majlis yang membuat keputusan dalam struktur latihan dan pemilihan pemain.

Sebagai sebuah persatuan yang progresif, BAM, sentiasa mengkaji semula pelan dan dengan nasihat Pengarah Kejurulatihan dan jurulatih kebangsaan, mereka telah membuat beberapa penambahbaikan sejak beberapa tahun lepas, tambah kenyataan tersebut.

Dalam Mesyuarat Majlis ketiga 2019, Julai lalu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut mengumumkan, badan induk badminton bersetetuju memberi geran kepada persatuan negeri untuk disalurkan bagi tujuan pembangunan akar umbi. – BERNAMA