Katanya, sebaik pengumuman mengenai persaraan dibuat secara rasmi oleh Chong Wei, perkara pertama yang terlintas di fikiran Choong Hann adalah siapa pula pengganti bekas pemain No. 1 dunia itu.

Choong Hann turut menzahirkan rasa risau berhubung keadaan tersebut yang entah bila akan berkesudahan.

Lebih membimbangkan Choong Hann apabila Lee Zii Jia yang telah dipersiapkan untuk menggalas tugas sebagai pengganti sepanjang Chong Wei sakit sejak setahun lalu, belum mencapai tahap seperti yang diharapkan.

“Kita kena hormati keputusan Datuk Lee Chong Wei untuk berundur sebab ini soal kesihatan yang tidak boleh langsung berkompromi.

“Cuma apa yang melegakan saya ialah apabila dia bersetuju untuk turut membantu BAM mempersiapkan bukan sahaja Zii Jia malah pemain lain ke Sukan Olimpik.

“Mengenali Chong Wei selama lebih 19 tahun, saya percaya dia ikhlas dan akan membantu badminton negara seperti mana yang diucapkannya,” kata Choong Hann.

Mengenai Zii Jia katanya, walaupun belum mencapai standard Chong Wei, pemain muda itu sekurang-kurangnya sudah berada di landasan yang baik untuk tiba di tahap tersebut satu hari nanti.- UTUSAN ONLINE