Saingan yang berlangsung di Sports Arena Falim, Ipoh itu menyaksikan Bagan BC pada satu ketika berada di tempat kedua di dalam carta sebelum menumpaskan Cheras TP BC, Labuan DSBC dan Bayan Lepas BC.

Bagan BC meneruskan rentak cemerlang hari ini dengan menundukkan Segamat Spiritual BC dan Seremban City BC, sekali gus mengesahkan kejuaraan serta slot automatik ke Divisyen 2 musim hadapan.

Pencabar terdekat, Cheras TP BC terpaksa berputih mata dengan sekadar menjadi naib juara manakala Segamat Spiritual BC menamatkan kedudukan di tempat ketiga.

Hasil kerja keras pasukan Bagan BC berbaloi apabila berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500 dan menempah slot ke divisyen 2 musim hadapan sementara Cheras TP BC dan Segamat Spiritual BC masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM800.

Ketua jurulatih Bagan BC, Alif Razlan yang telah bersama dengan pasukan selama lapan tahun mendedikasikan kejayaan pasukannya kepada jurulatih dari Indonesia Janu Saputra yang turut membimbing pasukan juara ini sejak lima tahun yang lalu.

“Janu telah bersama kami sejak lima tahun yang lalu dan memberi kesan kepada peningkatan prestasi pemain dari segi skil dan stamina.

“Untuk kejohanan ini, kami membuat persiapan dengan mengadakan latihan pusat selama 2 bulan di PIBA (Persatuan Badminton India Penang) di mana para pemain bernaung di bawah persatuan ini,” kata Alif. - UTUSAN ONLINE