PASANGAN beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia (kiri), dan Soh Wooi Yik ketika menentang wakil dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada pusingan kedua Malaysia Masters 2019 dekat Axiata Arena, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON


Pasangan yang berusia 22 tahun itu bagaimanapun masih belum merangkul sebarang kejuaraan di pentas kejohanan utama namun berjaya menjadi naib juara dalam beberapa siri pertandingan sebelum ini selain berjaya menunjukkan peningkatan positif.


Aaron memberitahu, menyifatkan tahun ini sangat penting buat mereka kerana menjelang tahun hadapan mereka akan mencecah usia 23 tahun, jadi perlu segera bangkit memperbaiki kedudukan ranking dunia.


“Tahun ini boleh dikatakan adalah tahun untuk kami kerana bagi kami sangat penting terutama dengan aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.


“Buat masa sekarang sampai April, kami akan naikkan segera ranking kami dan apabila kedudukan menjadi lebih baik, maka undian untuk kami dalam setiap kejohanan akan jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, di sini hari ini.


Aaron-Wooi Yik berjaya ke saingan suku akhir Siri Jelajah Dunia 500 Malaysia Masters selepas menundukkan juara bertahan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 26-24, 21-15 untuk bertemu Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang menundukkan pasangan bebas negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 21-13, 21-14.- UTUSAN ONLINE