PETALING JAYA: Malaysia telahpun memiliki satu wakil ke perlawanan akhir selepas dua beregu negara, Chia Weijie-Lwi Sheng Hao dan Muhammad Faiq-Lok Hong Quan bertembung sesama sendiri pada separuh akhir Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, esok.
Pada suku akhir, hari ini, beregu profesional, Weijie-Sheng Hao mengalahkan Dev Ayyappan-Dhiren Ayyappan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) 21-18, 21-13 dalam masa 33 minit.
Kejayaan itu bakal menemukan mereka dengan gandingan muda Malaysia, Faiq-Hong Quan yang menewaskan pasangan Jepun, Masayuki Onodera-Daigo Tanioka 21-16, 21-15 dalam masa 34 minit.
Satu lagi beregu Malaysia, Kang Khai Xing-Aaron Tai turut mara ke separuh akhir selepas bekas juara remaja dunia itu membenam cabaran wakil tuan rumah, A. Hariharan-M.R. Arjun 22-20, 14-21, 21-13 dalam masa 54 minit.
Gandingan No. 57 dunia itu akan menghitung pertemuan dengan beregu Rusia, Rodion Alimov-Maksim Ogloblin pada separuh akhir.
Seandainya gandingan muda Malaysia itu melepasi halangan peringkat empat terbaik, maka, pertembungan sesama sendiri bakal berlaku di pentas akhir dengan gelaran beregu lelaki berada dalam genggaman wakil negara.
Turut menjejakkan kaki ke separuh akhir, beregu wanita Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang menumpaskan pasangan India, Priya Konjengbam-Shruti Mishra 21-13, 22-20 dalam masa 48 minit.
Gandingan remaja itu yang kini berada di tangga ke-33 dunia bakal berdepan laluan getir apabila dijadual menentang pasangan tuan rumah yang menghuni ranking No. 14 dunia, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, esok.
Sementara itu, dua beregu campuran negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien dan Wee Yee Hern-Vannee Gobi terkandas di suku akhir selepas tunduk kepada lawan masing-masing.
Tien Ci-Chiew Sien tewas kepada Dejan Ferdinansyah-Bernadine Anindya Wardana dari Indonesia 15-21, 21-12, 10-21, manakala, Yee Hern-Vannee tumpas di tangan beregu berpengalaman Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai 14-21, 11-21. – UTUSAN










