PETALING JAYA: Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen mengakui Malaysia masih belum setanding dengan pasukan gergasi dunia apabila dimalukan China 3-0 dalam aksi suku akhir Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, kelmarin.
Jurulatih kelahiran Denmark itu berkata, jurang prestasi yang ditunjukkan lawan terlalu jauh, apatah lagi apabila dua perseorangan negara, Leong Jun Hao dan K. Letshanaa tewas mudah dalam aksi penentuan itu.
“Ketika ini, sudah tentu kekalahan dalam perlawanan terakhir memberikan rasa kecewa yang besar. Kami benar-benar diuji oleh China hari ini (kelmarin) dan turut belajar nilai sebenar apabila berhadapan pemain kelas dunia yang beraksi pada tahap tertinggi.
“Namun, saya juga tahu perjalanan kita masih panjang sebelum mampu mencapai tahap tertinggi untuk bersaing secara konsisten dengan pemain terbaik dunia. Akan tetapi apabila kami lakukan perkara yang betul, kami mampu mencabar mereka,” kata Jonassen.
Selepas beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada pasangan No. 2 dunia, Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping pada aksi pembukaan, tumpuan terarah kepada Jun Hao dan Letshanaa untuk bangkit mengutip mata.
Namun, Jun Hao nyata tenggelam apabila hanya mampu mengutip 6 dan 14 mata ketika dibelasah pemain No. 1 dunia, Shi Yu Qi serta Letshanaa pula terus memberi laluan mudah kepada Chen Yu Fei dalam masa singkat, membuktikan tekanan peringkat tertinggi belum dapat diatasi dua pemain muda itu.
Jonassen bagaimanapun tetap percaya pemain-pemain muda negara mampu berkembang jika diberikan masa dan menekankan pentingnya ketelitian dalam latihan harian.
Menurutnya, Malaysia masih berada di landasan tepat tetapi belum bersedia untuk bersaing secara konsisten dengan kuasa besar seperti China.
“Saya percaya kita sedang bergerak ke arah yang positif, tetapi saya juga sedar perjalanan masih panjang sebelum kita mampu bermain secara konsisten menentang pemain terbaik dunia.
“Kita hanya perlu memastikan setiap perincian dalam latihan diberi perhatian dan kualiti itu amat penting,” tambahnya.-UTUSAN