PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu menjadikan Kejohanan Malaysia Masters sebagai persiapan terbaik menjelang Temasya Olimpik Paris 2024.
Diletakkan sebagai pilihan utama pada kejohanan yang akan berlangsung pasa 21 hingga 26 Mei ini, Tang Jir- Ee Wei perlu menggunakan peluang untuk mempamerkan aksi terbaik di depan penyokon sendiri.
Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, beliau yakin Tang Jie-Ee Wie mampu menyerap tekanan dan membina semangat untuk beraksi di Paris pada Julai nanti.
“Bagaimanapun bukan mudah untuk mereka. Mereka seharusnya mengambil peluang daripada kejohanan ini untuk dijadikan sebagai medan terbaik menguji kekuatan mental.
“Mereka pilihan utama jadi sudah tentu perlu kental. Saya menganggap ini adalah ujian paling berat untuk mereka sebelum ke Sukan Olimpik Paris kerana kita adalah tuan rumah.
“Walaupun nampak mudah tetapi tidak. Selepas mempamerkan hasil yang bagus di kejohanan ini, saya percaya mereka boleh beraksi dengan baik di Sukan Olimpik,” katanya.
Tang Jie-Ee Wei ketika ini menduduki ranking kesembilan dunia tewas seawal pusingan pertama kejohanan tahun lalu kepada pasangan dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.
Pasangan itu turut menyertai Terbuka Singapura pada 28 Mei hingga 2 Jun ini dan Terbuka Indonesia (4-9 Jun) sebelum berangkat ke Paris bagi menyertai temasya terbesar di dunia itu.-UTUSAN
KAPSYEN: CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi sandaran negara dalam acara beregu campuran di temasya Olimpik Paris 2024.











