Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa memberi sokongan penuh kepada atlet kebangsaan, malah peruntukan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah dipertingkatkan agar kontinjen negara dapat mencapai matlamat tersebut.

“Melalui penstrukturan semula ini, apa kita mahu ialah peningkatan prestasi atlet. Kemudian, kita tidak berhenti memberi fokus pada Sukan Olimpik Tokyo sahaja. Kita mahu menjalankan strategi jangka panjang untuk bersedia menghadapi temasya sukan seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas merasmikan program Semai Harapan di Taman Eko Rimba di sini hari ini.

Steven berkata KBS sentiasa menggalakkan dan akan memberi sokonggan kepada persatuan sukan tempatan untuk terus berusaha menganjurkan pelbagai kejohanan sukan peringkat antarabangsa di negara ini.

“Sebagai contoh, Le Tour de Langkawi (LTdL) berjaya membuktikan Malaysia mampu menjadi hab sukan pelancongan antarabangsa. Oleh itu kita menggalakkan agar lebih banyak temasya sukan antarabangsa diadakan di Malaysia,” katanya. - BERNAMA