Bagaimanapun, beraksi di venue terbuka yang berhampiran laut menjadi kebimbangan utama penerjun negara untuk memberikan persembahan terbaik, biarpun di atas kertas pingat dilihat tidak mustahil untuk diraih tanpa mengira warna.

Tiga emas menjadi rebutan pada hari pertama terjun iaitu 10 meter platform seirama wanita, dan tumpuan utama Malaysia pastinya kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong yang bakal terjun dalam acara 10 meter platform seirama wanita.

Dua lagi acara yang turut menjadi tumpuan adalah 1m papan anjal individu lelaki menerusi Ooi Tze Liang, Ahmad Amsyar Azman dan Syafiq Puteh, manakala gandingan Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri turun dalam acara 3m papan anjal seirama wanita.

“Keadaan di sini sedikit sukar tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa.

“Semua atlet berusaha keras untuk menyesuaikan diri. Venue berhampiran dengan laut akan membuat keadaan di sini sangat berangin dan sejuk,” kata Mun Yee ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mun Yee, 33, yang tidak pernah terlepas aksi Sukan Komanwel sejak membuat penampilan sulung di Kuala Lumpur pada 1998 mengakui, keadaan berangin dan sejuk mampu memberi kesukaran kepada penerjun negara, apatah lagi acara mereka bakal berlangsung pada sebelah malam.

Sementara itu, juara 10m platform dunia, Jun Hoong turut menyuarakan kebimbangan dengan keadaan cuaca sejuk kerana dia sendiri tewas dengan keadaan tersebut.

“Walau apa pun, saya pasti akan melakukan yang terbaik dalam setiap acara.

“Pada Sukan Komanwel kali ini saya rasa cabaran besar buat adalah cuaca di Gold Coast. Saya memang takut terhadap kesejukan dan ini memang menjadi kelemahan saya. Kami perlu kuat secara mental dan fizikal serta cuba mengatasi masalah cuaca,” kata atlet kelahiran Ipoh itu.

Pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Malaysia membawa pulang satu emas, dua perak dan satu gangsa. Emas tunggal disumbangkan Tze Liang dalam 3m papan anjal lelaki.