AMY KWAN beraksi dalam acara gimrama aparatus bola individu keseluruhan akhir di Pusat Sukan Tertutup Coomera, Gold Coast, semalam.

Selepas berganding dengan Koi Sie Yan dan Izzah Amzan untuk meraih perak berpasukan all-around semalam, kali ini Amy Kwan secara individu pula menyumbang gangsa keenam buat Malaysia.

Ini merupakan pingat gangsa keduanya pada temasya Sukan Komanwel selepas turut meraih pingat sama dalam acara berpasukan all-around bersama Wong Poh San dan Fatin Zakirah Zain Jalany empat tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Pada aksi final hari ini, Amy yang turun sebagai gimnas kedua terbaik di pusingan kelayakan mengumpul 51.500 mata menerusi empat disiplin iaitu gelung, bola, belantan dan riben.

Emas acara ini dimenangi gimnas Cyprus, Diamanto Evripidou yang mengumpul 55.750 mata manakala perak menjadi milik gimnas Kanada, Katherine Uchida yang mengumpul 52.650 mata.

“Saya bermula agak kurang baik berbanding pemenang emas dan perak pada dua disiplin awal iaitu gelung dan bola dan cuba bangkit dalam dua disiplin terakhir iaitu belantan dan riben namun sudah agak terlambat.

“Namun saya puas hati dengan pencapaian hari ini kerana sudah mencuba yang terbaik untuk meraih pingat. Mungkin saya akan cuba untuk meraih pingat lebih baik esok apabila beraksi dalam acara individu gelung, bola, belantan dan riben pula,” katanya.

Amy yang membuat penampilan terakhir di Sukan Komanwel ini dalam disiplin gelung tercicir di tempat kesembilan apabila hanya mampu memungut 12.100 mata diikuti tempat kelapan dalam disiplin bola 12.250 mata.

Hanya pada disiplin ketiga dan keempat iaitu belantan dan riben, baharu Amy dapat meraih mata kedua tertinggi iaitu 14.200 dan 12.950.