All Blacks muncul pasukan pertama menjulang trofi Webb Ellis tiga kali, malah mereka turut memahat sejarah sebagai pasukan pertama mempertahankan kejuaraan selepas muncul juara empat tahun lalu.

Larian individu yang cantik daripada pemain tengah, Ma’a Nonu dan aksi cemerlang fly-half ve­teran, Dan Carter menjadi kunci kejayaan All Blacks untuk menyekat Wallabies.

Nonu mencipta antara try terbaik sepanjang kempen Piala Dunia 2015 dengan melakukan larian sejauh 40 meter pada babak kedua untuk menyumbang satu daripada tiga try yang diperoleh New Zealand pada perlawanan paling menghiburkan dalam sejarah 28 tahun kejohanan.

Dia menyambut hantaran cantik pemain gantian, Sonny Bill Williams sebelum melakukan larian. Williams kemudian menghadiahkan pingat yang dimenangi kepada seorang budak lelaki yang dikasari oleh pengawal keselamatan ketika cuba berlari ke dalam padang pada hujung permainan untuk menyertai sambutan pasukan.

Biarpun Wallabies cuba bangkit pada separuh masa kedua dengan mengejar daripada ketinggalan 3-21 kepada 17-21 menerusi dua try pantas, namun Carter menafikan kebangkitan lawan apabila menyempurnakan drop gol untuk membawa kepada kemenangan pasukannya.

Ini adalah kali pertama New Zealand merangkul Piala Dunia di luar negara sendiri, malah All Blacks mengharungi semua tujuh perlawanan tanpa kalah.

“Semua ini adalah tentang New Zealand. Mereka berhak menang kerana mereka memang pasukan terbaik sepanjang kejohanan, malah mereka bermain dengan bagus hari ini,” akui kapten Australia, Stephen Moore.

Bagi Carter, 33, kemenangan kali ini sangat istimewa dan satu pencapaian ‘luar biasa’ kerana banyak rekod dipahat oleh All Blacks.

“Muncul pasukan pertama berjaya mempertahankan kejuaraan menunjukkan betapa istimewanya skuad All Blacks,” katanya.

Kemenangan New Zealand adalah penamat sempurna untuk kempen Piala Dunia 2015, yang disifatkan oleh Presiden Ragbi Dunia (WR), Bernard Lapasset sebagai kejohanan terbaik dalam sejarah penganjuran.

Keseluruhannya, Carter menyumbang 19 mata dalam kejohanan ini, sekali gus mencatat rekod peribadi kepada 1,598 mata.

Jurulatih New Zealand, Steve Hansen berkata, Carter dan ketua pasukan, Richie McCaw adalah pemain terbaik pernah dimiliki oleh All Blacks dalam sejarah mereka.

"Richie adalah pemain terbaik pernah dimiliki All Blacks dan Dan juga pemain yang menakjubkan. Cabaran buat pemain New Zealand yang lain adalah cuba menyamai kehebatan mereka,” ujar Hansen.

Ini hampir pasti menjadi penampilan terakhir Carter buat All Blacks kerana dia bakal beraksi dalam Liga Perancis, Top 14 sejurus tamat kejohanan. New Zealand tidak akan memilih pemain yang beraksi dalam liga luar negara untuk mewakili skuad kebangsaan. – AFP