Perkara itu diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie yang mengadakan pertemuan dan rundingan dengan Akhyar di Kedah, semalam.

Katanya, pertemuan tersebut berlangsung positif dan pemain berusia 19 tahun itu juga menyatakan minat menyertai Perlis dan meminta diberikan sedikit masa untuk membuat keputusan.

“Akhyar kata minat sangat nak mai (menyertai Perlis) selepas tertarik dengan wajah baharu pasukan itu yang dibarisi pemain mantap dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

“Dia (Akhyar) juga tertarik dengan pengurusan baharu skuad ini. Dia akan memberikan keputusan dalam masa terdekat ini.

“Kita sangat berharap dapat mendapatkan khidmat Akhyar bagi memperkuatkan pasukan musim depan,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Selain Perlis, beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor juga berminat memancing Akhyar.

Perlis yang sekian lama menyepi dalam arena bola sepak negara nampaknya begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara yang pernah menjadi antara kuasa bola sepak negara.

Antara pemain bintang yang sudah mengesahkan untuk bersama Perlis bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan ialah Safee Sali; Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya; Khyril Muhymeen; Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajudin. - UTUSAN ONLINE