Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

“Pelantikan ini adalah selaras dengan Seksyen 18(1) Akta Institut Sukan Negara 2011 dan lantikan ini telah berkuat kuasa mulai 25 Februari 2019. Untuk makluman semua, pelantikan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, ISN ini telah dilaksanakan menerusi proses permohonan secara terbuka.

“Pelantikan saudara Ahmad Faedzal yang merupakan seorang anak muda ini telah membawa satu lembaran baharu buat negara. Ia membuka ruang dan peluang buat generasi muda untuk menentukan hala tuju yang positif kepada industri sukan tanah air khususnya dari aspek sains sukan. Langkah ini selaras dengan hasrat KBS bagi memartabatkan peranan golongan muda di dalam agensi serta organisasi kerajaan dan swasta,” kata Syed Saddiq.

Ahmad Faedzal, 41 tahun yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Sukan dari Florida State University, sebelum ini merupakan Setiausaha Agung Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) dan memiliki Lesen Jurulatih Futsal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Tahap 1.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut memberitahu bahawa Ahmad Faedzal turut terlibat secara langsung dalam beberapa urusan bersama pihak Majlis Sukan Negara dan ISN serta memiliki pengetahuan yang luas tentang agensi-agensi ini.

“Beliau adalah seorang penjawat awam iaitu Pegawai Tadbir Diplomatik yang telah memiliki pengalaman bersama Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU).

“Beliau turut mempunyai pengalaman dalam bidang sukan selain pernah beraksi sebagai pemain bola sepak dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja (2001 & 2002), Kejohanan MAKSAK Malaysia (2018) dan pelbagai lagi,” kata Syed Saddiq.

Ahmad Faedzal dilantik bagi menggantikan Dr. Mohd. Khairi Zawi yang memendekkan tempoh kontraknya dari Januari 2019 kepada 30 November lepas. - UTUSAN ONLINE