Pada hari ketiga saingan hari ini, segalanya serba tidak menjadi buat penerjun negara kali ini dalam acara 1 meter papan anjal wanita, 10 meter platform seirama dan 3 meter papan anjal seirama lelaki.

Dalam 1 meter papan anjal wanita, Nur Dhabitah hanya mampu menduduki tempat keenam dengan 235.80 mata manakala dua lagi rakan sepasukannya, Jasmine Lai di tempat kelapan (223.20 mata) dan Kimberly Bong di tempat kesembilan (220.25 mata).

Emas acara ini dimenangi penerjun Scotland, Grace Reid yang memungut 275.30 mata diikuti dua penerjun Australia, Georgia Sheehan (264 mata) yang menang perak dan Esther Qin (252.95 mata), pingat gangsa.

Kekecewaan skuad terjun negara diteruskan dalam acara 10 meter platform seirama lelaki apabila gandingan Jelison Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Suria menduduki tempat keempat dengan mengumpul 385.80 mata.

Pemenang pingat emas 2014, Ooi Tze Liang yang turun selepas itu berpasangan dengan Chew Yiwei dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki juga gagal membantu memulihkan keadaan apabila hanya mampu menduduki tempat keempat dengan mengumpul 395.40 mata.

Satu lagi gandingan penerjun negara, Gabriel Gilbert Daim-Muhammad Syafiq Puteh menduduki tempat ketujuh dengan 369.42 mata.

Pada hari keempat dan terakhir saingan terjun esok, dua lagi acara akan dipertandingkan iaitu 3 meter papan anjal wanita dan 10 meter platform lelaki.