Openside flanker kelahiran Kuala Krai, Kelantan ini menganggap semangat laparkan kemenangan terhadap lawan di ranking ke-37 dunia itu seperti kelmarin mampu diulangi di Kelab Selangor Diraja, Bukit Kiara biarpun Singapura turut mengejutkan Filipina 28-24.

“Kami telah menemukan rentak pasukan malah mampu beraksi dengan semangat dan disiplin yang tinggi sehingga berjaya mengejutkan Sri Lanka yang jauh bezanya ketika kami menentang Filipina. Mungkin juga hari pertama itu kami agak lewat menyesuaikan diri.

“Jika kami mampu menang cemerlang dengan Sri Lanka, peluang untuk melepasi Singapura bakal lebih cerah dan kami sudah kaji kekuatan dan kelemahan pasukan jiran itu,” katanya.

Syarif Saiful Aazwan, 22, mencatat lima mata menerusi sepakan penalti dan conversion terhadap Filipina, Ahad lalu sebelum me­lebarkan kepada 15 mata hasil tiga conversion dan tiga penalti ketika menundukkan Sri Lanka.

Penuntut jurusan Pembangunan Sumber Manusia Universiti Putra Malaysia, Serdang ini mewakili negara sejak ARC Divisyen 2, 2014 di Doha, Qatar malah membantu skuad Lee Nyuk Fah menjuarai divisyen sama di Petaling Jaya tahun lalu.

Dia dianggap pakar sepakan skuad negara sekarang walaupun terdapat dua lagi pemain yang mahir menyudahkannya iaitu kapten yang juga fly half, Mohd. Syahir Asraf Rosli dan Muhamad Amirul Aqil Kamsol, pemain kidal yang turut menyumbangkan satu conversion menentang Sri Lanka.