Pada aksi penentuan tempat ke-3/4 hari ini, gandingan Ho Ying-Karen Lyne berjaya menewaskan beregu India, M.Sutirtha-S. Pooja 15-13, 11-7, 8-11, 11-7.

Penampilan ke Sukan Komanwel sehingga berjaya merangkul gangsa, mungkin bagi mereka ‘ibarat satu mimpi’.

Hal demikian kerana, selain merupakan pencapaian terbaik, mereka merupakan pasukan yang hanya meletakkan sasaran layak ke suku akhir dalam semua pertandingan di Gold Coast.

Emas acara itu dimenangi beregu Singapura, Feng Tianwei-Yu Mengyu yang menewaskan satu lagi beregu India, B. Manika-D. Mouma dengan 11-5, 11-4, 11-5 dalam aksi final.

Bagi Ho Ying, kejayaan menggenggam pingat gangsa sudah cukup memuaskan hatinya yang sejak awal mengetahui sasaran sebenar skuad.

“Kami memang terkejut kerana dapat menghadiahkan gangsa, kepada negara” jelasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Beh Lee Wei yang bangga dengan pencapaian di luar dugaan itu berkata, kesungguhan Ho Ying-Karen Lyne membuktikan mereka berada pada prestasi terbaik di temasya kali ini.

“Memang kita tidak pernah menang sebarang pingat dalam acara beregu. Apa yang ditunjukkan oleh mereka memang mengejutkan. Kita tidak meletakkan sebarang sasaran pingat dalam edisi kali ini,” katanya.

Beliau memberitahu, sebaliknya matlamat bagi skuad negara adalah sekadar mara ke suku akhir kerana atlet yang diturunkan adalah barisan pemain muda.

“Pencapaian pingat gangsa itu membuktikan skuad negara mempunyai pemain pelapis berpotensi bagi menggalas cabaran negara pada masa depan,” tambahnya.