Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, Cocker, loose forward All Blacks yang berusia 36 tahun itu bakal tiba di negara ini untuk berganding bahu dengan jurulatih negara selama seminggu setiap bulan bagi me­ningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

“KRM juga mempunyai dua pilihan untuk memantapkan pa­sukan ke arah Sukan SEA dalam tempoh 10 bulan ini, sama ada mengadakan siri perlawanan persahabatan atau penempatan (­attachment) di New Zealand atau Sri Lanka.

“Kenapa Sri Lanka? Mereka agak kuat dalam tujuh sebelah dan berada di ranking ketiga Asia sekarang (selain New Zealand yang kini No. 1 dunia).

“Kami akan mengkaji kesesuaian dan keberkesanan antara dua pilihan ini,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas majlis pelancaran ‘Ceburi Ragbi (GIR)’ di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1), di sini hari ini. .

GIR adalah program pengembangan sukan ragbi daripada Ragbi Dunia yang menekankan aspek ‘Cuba, Main dan Kekal’.

“Berdasarkan ranking kelima Asia (tujuh sebelah), kita berpeluang cerah (di Sukan SEA) tetapi perlu berhati-hati dengan Thailand yang mengejutkan pasukan negara di Singapura tahun lalu walaupun lawan berada di bawah kita.

“Jangan terlalu yakin, sebaliknya harus pertingkat prestasi.

“Bagi skuad wanita, kami sasarkan gangsa sahaja kerana perlu realitisk bahawa ragbi masih baharu bagi wanita di negara ini berban­ding dengan negara yang sudah bertapak agak lama,” katanya lagi.

Ujar Shahrul, Stadium Peta­ling Jaya akan menjadi gelanggang ragbi Sukan SEA 2017 dan sebuah stadium khas sukan itu yang dinanti-nantikan sekian lama oleh para peminat tanah air dijangka mampu menjadi kenyataan dalam tempoh dua tahun lagi.

KRM juga kata Shahrul, mahu pasukan negara muncul No. 1 Asia dalam tempoh lima tahun akan datang walaupun ramai yang berpendapat bahawa sasaran itu mustahil dicapai apatah lagi de­ngan jurang prestasi kuasa utama sekarang, Jepun dan Korea Selatan.

Skuad 15 sebelah negara bim­bingan Lee Nyuk Fah yang menjuarai Divisyen Satu Kejohanan Asia di Kuala Lumpur, Mei lalu (mengatasi Filipina, Sri Lanka dan Singapura), kini berada di ranking keempat Asia, manakala skuad tujuh sebelah menduduki tangga kelima benua ini.

SHAHRUL ZAMAN YAHYA (berdiri baju merah) menyampaikan cenderahati kepada Penolong Kanan Kurikulum SK Persint 8 (1) Putrajaya, Farizul Fuad bersama sebahagian pelajar yang menyertai program pembangunan sukan ragbi di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN