Lee Wei yang juga pemain kebangsaan, sebaliknya menggesa Ho Ying dan pendatang baharu, Karen Lyne menggandakan usaha dan sentiasa bekerja keras untuk menjadi pemain lebih baik pada masa hadapan.

“Sebenarnya mereka mempunyai kemahiran tetapi hanya kurang pengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Saya berharap selepas mempamerkan prestasi terbaik di Sukan Koman­wel, mereka boleh pergi lebih jauh terutama Karen yang memiliki potensi besar,” katanya.

Lee Wei berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tiba bersama skuad ping pong negara dari Gold Coast, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, awal pagi tadi.

Beliau berkata, dengan kejayaan memenangi pingat gangsa, secara tidak langsung melenyapkan kritikan pihak tertentu yang meragui kemampuan barisan pemain mudanya untuk melakar keputusan positif di Gold Coast.

Kata Lee Wei, pemain kini perlu beralih tumpuan kepada Kejohanan Dunia pada akhir bulan ini di Sweden, sebelum menghadapi Kejohanan Terbuka Kadet dan Remaja Thailand di Bangkok dari 9 hingga 13 Mei.

“Kita akan menghantar ke­semua pemain yang beraksi di Komanwel bagi memberi mereka lebih pendedahan menentang pemain terkemuka dunia, supaya mereka dapat memperbaiki prestasi pada masa depan,” katanya.

Ho Ying-Karen mencipta kejutan meraih gangsa acara beregu wanita apabila menewaskan pasangan India, M. Sutirtha-S. Pooja 15-13, 11-7, 8-11, 11-7.

Pasangan negara itu terdahulu mengejutkan gandingan penyandang pingat perak dari Australia, Miao Miao-Lay Jian Fang di suku akhir sebelum tumpas kepada beregu terbaik India, Manika Batra-Mouma Das di separuh akhir. – BERNAMA