Konsep ini jika diselami sebenarnya telah berkembang pesat di negara ini kerana ia mewujudkan persaingan sihat antara peserta sehingga menyajikan hadiah yang cukup lumayan.

Tidak hairanlah ada yang sanggup memperjudikan masa depan mereka untuk menjadi pemain profesional sehingga berupaya mengaut keuntungan hampir RM3 juta selama berkecimpung dalam e-sukan.

Jika diamati, pendapatan mereka ini agak setaraf dengan atlet sukan negara ini seperti jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei yang mencecah RM4 juta atau ratu skuasy Datuk Nicol David (RM1.4 juta).

Demi menjadi pemain profesional, lima anak muda ini telah menubuhkan pasukan Full Davai untuk permainan Mobile Legends (ML), dengan cabaran pertama mereka adalah dalam Todak Fest 2019 pada 26 dan 27 Januari depan di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Kuala Lumpur.

Bagi kapten Full Favai, Andriyana Mohd. Ghazali, dia pada mulanya bermain ML sekadar suka-suka.

Namun, selepas menyedari permainan tersebut membuka peluang menjana pendapatan, dia memberanikan diri menceburi ML dengan lebih serius meskipun memiliki latar belakang akademik yang baik.

Andriyana, 29, lulusan kedoktoran dari sebuah universiti di Mesir sering memegang watak pahlawan yang memiliki kuasa magis, Gord, sekali gus membolehkannya digelar ‘Dr Gord’.

“ML lain dari yang lain, yang mana kerjasama berpasukan adalah kunci utama untuk berjaya. Saya mula bermain ketika masih menuntut di Universiti Mansoura, Mesir awal tahun 2018. Ketika itu saya bermain di server (pelayan) Eropah.

“Biarpun bermain secara suka-suka, ML sebenarnya boleh menjana pendapatan. Buat masa ini saya jadikannya sebagai kerjaya separuh masa dan hasilnya saya meraih pendapatan lima angka sebulan,” kata Andriyana.

Dalam misi mengejar impian tersebut juga, salah seorang ahli Full Davai, Mohd. Firdaus Mohd. Nasaruddin berkata, skuadnya akan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya dua jam setiap hari untuk berlatih.

“Kami perlu giat berlatih sebab pertandingan semakin hampir. Biarpun mempunyai latar belakang kerjaya yang berbeza tetapi kami cuba mencuri masa berlatih bersama.

“Impian kami adalah menjadi pemain profesional yang dikenali, selain meletakkan bakat kami di tempat sesuai,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Todak Gaming Community, Ahmad Fadli Ahmad Dahlan berkata, festival tempatan terbesar yang akan berlangsung Januari depan antara sumbangan ke arah memartabatkan e-sukan.

“Todak Fest adalah platform kepada pemain mewakili Todak Gaming House. Pemilihan pemain tidak semestinya pasukan yang menjadi juara tetapi menerusi pemain terbaik di setiap posisi contohnya ‘tanker’, ‘fighter’ dan ‘mage’.

“Pasukan yang bakal ditubuhkan akan dijaga secara profesional dari segi tempat tinggal, makan, peralatan sehinggalah membawa mereka ke pertandingan di seluruh dunia,” ujarnya.