Menurut Presiden Persatuan Seni Bela Diri Taekwondo Malaysia, Master S.Edwin, kejohanan tahunan tersebut menampilkan pelbagai kategori mengikut kelas tali pinggang masing-masing dan bukan berdasarkan berat badan seperti sebelum ini.

“Sambutan kali ini amat menggalakkan dalam kalangan peserta sekolah rendah dan menengah yang bertanding termasuk kategori peserta cilik dalam kalangan pelajar tadika berusia 4 hingga 5 tahun.

“Kali ini senior dan junior boleh bertanding mengikut kategori masing-masing, “katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian penutup oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya di Dewan Sukan di Seri Andalas di sini semalam.

Yang hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Sukan, Ko-kurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Rashidi Mean dan Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Kota Raja, Mohamad Khusyairi Abdul Aziz.

S.Edwin berkata, sambutan terhadap kejohanan tersebut bukan kepada nilai hadiah kemenangan tetapi sebagai bukti kecemerlangan ko-kurikulum seseorang pelajar.

“Kejohanan ini disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Selangor di bawah badan beruniform yang mana penyertaan peserta akan diberi markah ko-kurikulum.

“Selain dapat memupuk jati diri Tae Kwon Do, markah ko-kurikulum ini sangat penting untuk seseorang pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, “katanya. – UTUSAN ONLINE