Pengurus penganjuran, Mohd. Faizal Jusoh berkata, kejohanan yang pertama kali diadakan itu akan dijadikan acara tahunan dengan matlamat menjadikan pulau itu sebagai destinasi sukan basikal bukit utama di Asia Tenggara.

Katanya, kejohanan ini akan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 untuk direbut dengan enam kategori dipertandingkan bagi acara basikal bukit iaitu elite, terbuka, master expert, master open, junior dan beginner.

"Acara sampingan fixie dan BMX pula mempertandingkan tiga kategori iaitu persembahan fixie terbaik, fixie sprint serta fixie dan BMX flatland," katanya pada sidang akhbar dan penyerahan replika cek penajaan perlumbaan, kelmarin.

Menurut Mohd. Faizal, pelumba akan diuji dengan laluan mencabar sepanjang satu kilometer di trek yang baru dinaik taraf, lengkap dengan ciri keselamatan.

Jelasnya, antara pelumba handalan yang mengesahkan penyertaan termasuk Pierre Yves Catry (Perancis), Ian Krempl dan Tan Hong Chun (Singapura), Andre Palmer (Indonesia), Daniel Sprange (Australia) dan pemenang pingat perak Sukan SEA 2011, Joey Barba dari Filipina.

Cabaran negara pula akan dipikul Adam Ahmed dan Ooi Chee Keong serta puluhan peserta tempatan lain.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web www.jridc.blogspot.com.