Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Velayuthan Tan, yang juga presiden kedua-dua ERC dan Kesatuan Ragbi Sabah berkata selain Malaysia pasukan yang telah mengesahkan akan turut serta ialah Australia, New Zealand, Hong Kong, Belgium, Jepun, China, China Taipei, Thailand, Filipina and Singapura serta buat pertama kalinya Russia.

"Kejohanan itu akan dibahagikan kepada kategori lelaki dan wanita dengan masing-masing 12 dan lapan pasukan." katanya pada sidang akhbar di sini.

Dalam kejohanan tahun lepas, juara tiga kali Borneo Eagles terpaksa melepaskan mahkotanya kepada pasukan Iconz dari Australia yang akan kembali untuk mempertahan gelaran mereka.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Frankie Poon berharap kejohanan Borneo Sevens ini akan mencergaskan ekonomi Sandakan terutama dalam bidang pelancongan kerana pasukan luar negara akan bertanding di sini.

"Adalah menjadi harapan saya Sandakan akan menjadi hab bagi pelancongan sukan di Sabah.

"ERC telah memberi sandakan stadium ragbi yang canggih dan diharapkan, ini akan diteladani oleh arena sukan yang lain," katanya.

Poon berkata kerajaan telah bersetuju memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sandakan bagi memberi keselesaan kepada pelancong untuk datang ke Sandakan serta penganjuran acara antarabangsa di daerah ini. - BERNAMA