MEGAT ZULKARNAIN OMARDIN

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata kejohanan itu akan melibatkan 21 kontinjen dari seluruh negara dan merupakan penyertaan paling ramai dalam sejarah penganjuran acara berkenaan.

"Selain penyertaan kontinjen negeri, kejohanan itu turut akan disertai kontinjen daripada Silat Lincah Malaysia, Silat Seni Gayung Malaysia dan Silat Gayung Fatani Malaysia serta dua kontinjen daripada badan beruniform, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejohanan Silat Kebangsaan ke-19 di sini, hari ini.

Megat Zulkarnain berkata kejohanan itu akan mempertandingkan Silat Olahraga melibatkan 11 kategori lelaki dan tujuh wanita, manakala Silat Seni masing-masing akan membabitkan saingan empat acara lelaki dan wanita.

Beliau, bagaimanapun berkata pada kejohanan kali ini, pesilat negara tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Beliau berkata perkara tersebut diputuskan dalam usaha persatuan berkenaan mencungkil bakat, selain mencari juara kebangsaan baharu.

"Kita tidak mahu pesilat-pesilat baharu yang menyertai kejohanan ini merasa kalah awal sebelum bertanding apabila pesilat negara diberi peluang untuk menyertai pertandingan ini," katanya.

Namun, beliau berkata juara kebangsaan baharu itu nanti akan bertarung dengan pesilat-pesilat negara mengikut kategori dimenangi mereka.

"Selepas kejohanan itu selesai, juara setiap kategori akan diberi masa untuk berlatih sebelum dipertemukan dengan pesilat negara untuk mencari pemenang sekali gus menjadi pesilat negara yang baharu," katanya. - BERNAMA