Bomba FC juara PERR buat kali pertama

Bomba FC juara PERR buat kali pertama

Pasukan Bomba FC dinobatkan juara PERR 2026 selepas menumpaskan pasukan Negeri Sembilan di final edisi 104 malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bomba FC melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 buat kali pertama selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final di Arena Universiti Malaya (UM), malam tadi.

Kejayaan itu hadir selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan sebelum Bomba FC lebih tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menjulang trofi pertandingan bola sepak tertua di Malaysia itu.

Lebih manis, kejayaan berkenaan turut mengubati kekecewaan Bomba FC yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pada edisi 2024 selepas tewas 1-2 kepada MySPRM-ACeIO.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengendali pasukan Bomba FC, Mazerul Mohd Mohayudin berkata, kejayaan itu hasil kerja keras pemainnya sepanjang kejohanan.

“Pemain berikan sepenuhnya dalam kejohanan ini, malah di final juga pemain beri lebih 100 peratus. Walaupun kami terpaksa main 10 orang, tapi komitmen semuanya akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Dalam aksi itu, Bomba FC terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Muhammad Nor Hakimi Hasbullah pada babak pertama untuk meletakkan pasukannya di depan 1-0.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan yang memburu kejuaraan pertama sejak 2015 tidak mengalah apabila bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Muhammad Amirul Farhan pada babak kedua.

Bomba FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Bomba FC, begitupun Negeri Sembilan gagal mengambil kesempatan itu sehingga tamat masa permainan sebenar, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Namun, tiada jaringan tambahan dihasilkan dalam tempoh 30 minit itu sebelum pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Bomba FC, Muhammad Firdaus Mohd Kamal muncul wira apabila menepis dua sepakan lawan untuk mencatat kemenangan 4-2, sekali gus mencipta sejarah apabila buat pertama kali membawa pulang trofi kejuaraan PERR.

Dalam perkembangan sama, pemain Negeri Sembilan, Muhammad Amirul Farhan dipilih sebagai Pemain Terbaik PERR 2026.

Sebagai juara, Bomba FC membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta piala pusingan dan pingat, manakala Negeri Sembilan menerima RM20,000 sebagai naib juara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini