PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin merangkul gelaran sulungnya tahun ini, selepas menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Vietnam di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam, hari ini.
Aidil yang menghuni ranking ke-91 dunia mengejutkan wakil Singapura, Jason Teh yang diletakkan selaku pilihan pertama 21-16, 21-14 dalam masa 45 minit pada perlawanan akhir.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan kedua Aidil ke atas pemain No. 33 dunia itu dan sekali gus menyaksikan pemain profesional Malaysia tersebut mendahului rekod pertemuan dengan keputusan 2-0.
Kemenangan yang diukir Aidil itu juga merupakan gelaran pertamanya pada kejohanan berstandard Super 100.
Selalu juara, Aidil membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$8,250 (RM33,580) beserta pingat emas.
Kejayaan yang dicatat Aidil itu, sekurang-kurangnya mengubat duka peminat badminton tanah air yang kecewa selepas bekas pemain perseorangan No. 1 Malaysia, Lee Zii Jia terkandas seawal pusingan pertama.
Malaysia terpaksa menunggu selama dua tahun untuk kembali menyaksikan wakil perseorangan lelaki negara memenangi gelaran dalam Jelajah Dunia BWF, selepas Zii Jia berbuat demikian di Terbuka Australia pada 2024. – UTUSAN











