SERDANG: Atlet olahraga Johor, Chai Kai Le membuktikan misinya untuk memecahkan rekod temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bukan sekadar angan-angan apabila berjaya melakar rekod baharu dalam acara rejam lembing lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Kai Le mencatatkan rejaman sejauh 64.44 meter (m) menerusi percubaan keduanya untuk meraih pingat emas, sekali gus memadam rekod temasya berusia 26 tahun milik atlet Sarawak, Kho Mei Kuan dengan catatan 62.33m yang dilakukan pada SUKMA 2000 di Pulau Pinang.
Pingat perak menjadi milik wakil Pulau Pinang, Tan Chun Wei yang merekodkan 60.43m, manakala atlet Johor, Mohd Noor Iman Norman membawa pulang gangsa selepas melakukan rejaman sejauh 59.04m.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Kai Le yang melakukan penampilan pertamanya di temasya itu berkata, dia amat berpuas hati dengan kejayaan tersebut memandangkan itu merupakan sasaran utamanya.
“Saya sudah tengok rekod sebelum ini dan cuma tunggu balingan ke berapa untuk pecahkannya.
“Saya pun tidak pasti balingan ke berapa akan pecah rekod, tetapi saya memang datang ke sini untuk pecahkan rekod ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya lagi, catatan 64.44m itu bagaimanapun masih belum menyamai rekod peribadi terbaiknya (PB) 65.65m yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka Jawa Tengah di Indonesia, bulan lalu.
Selepas kejayaan memecahkan rekod SUKMA, Kai Le kini mengalihkan fokus kepada persiapan menghadapi kelayakan Sukan SEA 2027 dengan sasaran lebih tinggi daripada jurulatihnya iaitu melakukan rejaman sejauh 70m.
“Saya akan bersedia untuk kelayakan Sukan SEA tahun depan. Sasaran jurulatih adalah untuk saya capai balingan 70m pada tahun depan. Saya yakin. Kalau kita nak, ia mesti akan datang,” katanya. – UTUSAN










