PHILADELPHIA: Trio serangan Perancis memiliki segala ramuan untuk memecahkan benteng pertahanan Paraguay apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, esok.
Penyerang Perancis, Bradley Barcola yakin gandingan bersama Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele semakin serasi, sekali gus menjadi senjata utama Perancis yang tampil cemerlang sepanjang kempen di Amerika Utara.
“Saya sangat menikmati corak permainan ini. Kami menyerang dan bertahan sebagai satu pasukan.
“Mereka pemain bertaraf dunia dan sebab itu keserasian kami menjadi. Ia satu keseronokan bermain bersama mereka,” katanya.
Perancis mara ke peringkat kalah mati dengan rekod sempurna apabila memenangi keempat-empat perlawanan, meledak 13 gol dan hanya dibolosi dua kali.
Daripada jumlah itu, Mbappe, Dembele dan Barcola menyumbang 12 gol, sekali gus membuktikan ketajaman jentera serangan skuad kendalian Didier Deschamps.
Bagaimanapun, Barcola menjangkakan Paraguay akan memberikan cabaran berbeza selepas pasukan dari Amerika Selatan itu mengejutkan juara empat kali, Jerman menerusi kemenangan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
“Kami tahu ia bukan tugas mudah. Paraguay mempunyai pertahanan yang sangat tersusun, jadi kami perlu mencari pelbagai pilihan untuk memecahkannya.
“Saya yakin kami mampu melakukannya dan berharap rentak cemerlang ini berterusan sehingga penghujung kejohanan,” katanya.
Selain berdepan lawan yang berdisiplin, Perancis juga dijangka perlu menyesuaikan diri dengan cuaca panas apabila suhu di Philadelphia diramal mencecah 36 darjah Celsius pada hari perlawanan.
Namun, Barcola percaya skuad Les Bleus tidak berdepan masalah besar kerana sudah menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sepanjang beberapa minggu beraksi di Amerika Utara.
“Kami sudah biasa bermain dalam cuaca seperti ini. Memang ia lebih memenatkan, tetapi kami bersedia menghadapinya,” katanya.-AGENSI










