Semangat berpasukan senjata Argentina- Messi

Semangat berpasukan senjata Argentina- Messi

Lionel Messi menjadi nadi utama Argentina dii Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATLANTA: Lionel Messi percaya Argentina mampu mengatasi cabaran Sepanyol pada aksi final Piala Dunia 2026, selepas sekali lagi membuktikan kekuatan mental untuk bangkit dalam detik sukar sepanjang kejohanan.

Messi memainkan peranan penting ketika membantu juara bertahan itu menewaskan England 2-1 pada separuh akhir di Atlanta apabila mencipta dua bantuan jaringan kepada Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez pada penghujung permainan.

Sebelum menyingkirkan England, skuad kendalian Lionel Scaloni itu bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Mesir 3-2 pada pusingan 16 terakhir, selain memerlukan masa tambahan ketika menewaskan Cape Verde dan Switzerland dalam laluan ke separuh akhir.

Messi yang juga kapten Argentina mengakui kepercayaan antara pemain menjadi faktor utama kebangkitan La Albiceleste sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

“Kumpulan pemain ini tidak pernah mengejutkan saya. Saya tahu dan kami tahu kemampuan yang kami ada. Mungkin ada yang meragui kami kerana beberapa pemain berada di tahap maksimum kemampuan.

“Tetapi apabila kami bersatu, ia sentiasa memberikan tenaga tambahan. Mereka saling memberi inspirasi dan memberikan segala-galanya di atas padang,” katanya.

Pemain berusia 39 tahun itu kini mengalihkan tumpuan kepada pertemuan dengan Sepanyol di Stadium MetLife, New Jersey dalam usaha membimbing Argentina mempertahankan kejuaraan dunia.

Messi yang pernah menghabiskan 17 tahun bersama Barcelona menyifatkan Sepanyol sebagai pasukan yang cukup dikenali dan memiliki falsafah permainan tersendiri.

“Ia adalah pasukan yang saya kenali dengan baik. Mereka mempunyai falsafah bola sepak dan telah bermain dengan cara itu selama bertahun-tahun.

“Saya mengenali pemain mereka. Saya pernah menentang mereka, mengikuti perkembangan mereka dan beberapa daripada mereka kini bermain untuk Barca, kelab yang saya sayangi.

“Ini adalah perlawanan istimewa, sebuah final Piala Dunia. Saya menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang seimbang,” katanya.

Bagi Messi, fokus utama Argentina adalah memastikan kemenangan bagi melengkapkan era gemilang pasukan itu selepas menjuarai Copa America 2021, Piala Dunia 2022 dan Copa America 2024.

Kini, Messi hanya dipisahkan 90 minit daripada peluang menutup kisah Piala Dunia terakhirnya dengan satu lagi trofi berprestij. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN