Peluang tambah pingat emas cerah

Peluang tambah pingat emas cerah

Datuk Abdul Latif Romly meraikan kejayaannya meraih pingat emas dalam acara lompat jauh yang juga merupakan emas kelima kontinjen Malaysia bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin di Sukan Komanwel 2026, Glasgow, semalam. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas sasaran lima pingat emas berjaya diterjemahkan, kontinjen negara berpeluang menokok pingat pada baki saingan Sukan Komanwel 2026 menerusi empat acara.

Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, peluang untuk menambah pingat masih terbuka menerusi angkat berat, boling padang, judo dan berbasikal trek, namun beliau enggan menetapkan sasaran sama ada ia perlu diterjemahkan dalam bentuk emas, perak mahupun gangsa.

“Angkat berat, boling padang, berbasikal trek dan judo masih ada sasaran untuk kita dapat pingat tetapi dari segi warna itu kita tak sasar secara spesifik namun kita yakin empat acara ini akan menyumbang pingat kepada negara.

“Kita sasarkan lima emas, dua perak dan empat gangsa, kita kira kita sudah capailah walaupun satu gangsa lagi kurang. Saya rasa kita akan melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Saya tak mahu sebut warna pingat, apabila kita sudah capai lima emas ini, alhamdulillah. Saya tidak mahu beri tekanan kepada atlet. Kalau kita dapat emas bagus,” kata Awalan ketika dihubungi Utusan Malaysia di Glasgow, semalam.

Ketika ini, empat daripada lima pingat emas negara hadir daripada acara angkat berat menerusi Mohamad Aniq Kasdan 60 kilogram (kg), Muhamad Aznil Bidin 65kg, Muhammad Erry Hidayat 79kg, Hafizuddin Roslin 88kg dan Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20).

Dalam pada itu, Awalan turut memuji kontinjen angkat berat negara susulan kejayaan mereka menjadi penyumbang pingat emas terbesar Malaysia setakat ini dan percaya jumlah kutipan tersebut akan terus bertambah.

“Seperti mana yang kita tahu dengan pengurangan sukan berbanding di Komanwel Birmingham 2022, kita masih mencapai sasaran yang ditetapkan malah pencapaian paling membanggakan adalah angkat berat. Terima kasih angkat berat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN