PHILADELPHIA: Penyerang Paraguay, Julio Enciso mengakui Perancis bakal menjadi lawan yang jauh lebih sukar menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, di Stadium Philadelphia, esok.
Namun, Enciso menegaskan pasukannya tidak gentar untuk berdepan mana-mana pencabar selepas mencipta kejutan menyingkirkan Jerman pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia, sebelum ini.
Paraguay yang melakar kemenangan dramatik 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik.
Enciso mengakui Perancis memiliki pemain bertaraf dunia, namun percaya Paraguay mempunyai kemampuan untuk terus mencipta kejutan.
“Mereka sebuah pasukan yang sangat bagus dengan pemain bertaraf dunia. Tidak perlu saya sebut nama mereka kerana semua orang tahu mereka adalah bintang yang sudah memenangi pelbagai kejuaraan.
“Tetapi kami juga mempunyai kekuatan sendiri. Dengan corak permainan kami, kami akan cuba menyukarkan mana-mana lawan,” katanya.
Pemain Strasbourg itu turut menegaskan kemenangan ke atas Jerman tempoh hari membuktikan Paraguay mampu bersaing dengan mana-mana pasukan besar.
“Kami menghormati mereka kerana kami tahu kualiti pemain-pemain Jerman, tetapi kami tidak takut kepada sesiapa,” katanya.
Paraguay dalam usaha memburu tiket ke suku akhir selepas kali terakhir melangkah jauh pada edisi 2010 di Afrika Selatan.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua negara ini bertemu pada Jun 2017 yang menyaksikan skuad Les Blues melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Paraguay dalam aksi persahabatan antarabangsa.-AGENSI










