ATLANTA: Jurulatih Mesir, Hossam Hassan mendakwa pasukannya ‘ditipu’ daripada melangkah ke suku akhir Piala Dunia selepas Argentina bangkit secara dramatik daripada ketinggalan 0-2 untuk mencatat kemenangan 3-2.
“Saya tidak mahu lagi bercakap secara berlapik atau menyalahkan nasib. Kami telah ditipu secara tidak adil hari ini, kami menjadi mangsa ketidakadilan,” kata Hassan dalam sidang media yang penuh emosi.
Skuad The Pharaohs menyaksikan jaringan Mostafa Zico dibatalkan ketika mereka mendahului 1-0 selepas VAR mengesan kekasaran terhadap Lisandro Martinez yang berlaku lebih awal dalam gerakan tersebut.
Bagaimanapun, Zico kemudian berjaya menggandakan kelebihan Mesir sekali gus meletakkan pasukannya di ambang mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama.
Namun, juara bertahan Argentina bangkit apabila Cristian Romero merapatkan jurang sebelum Lionel Messi, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama, meledak gol penyamaan untuk jaringan kelapannya dalam kejohanan itu.
Kontroversi tidak berakhir di situ apabila Mesir mendakwa mereka sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti susulan tarikan Alexis Mac Allister ke atas Hamdy Fathy dalam gerakan yang membawa kepada gol kemenangan Enzo Fernandez.
“Kami langsung tidak melihat sebarang rasa hormat atau semangat kesukanan. Tiada penghormatan, tiada permainan yang adil.
“Sepakan penalti kami dinafikan, malah tidak diperiksa menggunakan VAR. Gol kedua kami pula dibatalkan dalam keadaan yang sangat meragukan. Tiada semakan VAR walaupun semua orang dapat melihat baju pemain kami ditarik,” kata Hossam.
Hossam turut berkata beliau tidak akan lagi mengikuti baki saingan Piala Dunia kerana terlalu kecewa dengan apa yang disifatkannya sebagai ketidakadilan.
“Saya tidak akan terus menonton perlawanan Piala Dunia ini. Itulah cara saya menyuarakan bantahan,” katanya.
Hossam turut membayangkan pengadil menerima tekanan untuk memastikan salah seorang bintang terbesar kejohanan itu terus kekal bersaing.
“Mungkin mereka mahu memastikan juara dunia terus berada dalam kejohanan ini. Mungkin mereka mahu Messi terus kekal.
“Dalam bola sepak, kadangkala wujud faktor luaran yang melangkaui aspek teknikal. Juara dunia menerima sokongan di setiap peringkat,” katanya kepada BeIN Sports.-AGENSI










