EAST RUTHERFORD: Kylian Mbappe muncul pemain pertama dalam sejarah yang memenangi Kasut Emas Piala Dunia sebanyak dua kali, sekali gus menambah satu lagi pencapaian gemilang dalam kariernya.
Kapten Perancis itu menamatkan kempen Piala Dunia 2026 sebagai penjaring terbanyak dengan 10 gol, mengatasi legenda Argentina, Lionel Messi yang meledak lapan jaringan selepas gagal menambah koleksi gol ketika tewas 1-0 kepada Sepanyol pada aksi final.
Lebih manis, penyerang Real Madrid berusia 27 tahun itu turut mengatasi Messi dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia apabila kini mengumpul 22 gol daripada tiga edisi.
Mbappe sebelum ini turut merangkul Kasut Emas pada Piala Dunia 2022 di Qatar selepas menjaringkan lapan gol, meskipun Perancis tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti pada aksi final.
Dalam perebutan tempat ketiga, Mbappe menambah dua lagi jaringan ketika membantu Perancis, namun tetap gagal menghalang kekalahan 4-6 kepada England dalam perlawanan yang berlangsung penuh dramatik.
Bagaimanapun, Mbappe mengakui pencapaian peribadi tidak mampu mengubat kekecewaannya kerana gagal membawa Perancis ke pentas final.
“Apabila anda menjaringkan banyak gol dalam Piala Dunia, sudah tentu ia membawa anda ke tahap yang berbeza.
“Tetapi saya lebih rela tidak menjadi penjaring terbanyak dan sebaliknya beraksi di final. Anugerah ini mungkin penting untuk legasi saya apabila bersara nanti, namun ketika ini, keutamaan saya adalah kejayaan pasukan,” katanya.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps yang bakal meninggalkan skuad Les Bleus selepas kejohanan itu turut memuji pengaruh besar Mbappe terhadap pasukan.
“Dia pemain yang luar biasa dan seorang kapten yang hebat. Apa yang dicapainya sepanjang tiga kempen Piala Dunia membuktikan kualiti dimilikinya,” kata Deschamps.-AGENSI










