Latif Romly ketuai kontinjen negara di Sukan Komanwel

Latif Romly ketuai kontinjen negara di Sukan Komanwel

Abdul Latif Romly diberikan penghormatan dipilih menjadi pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly diberikan penghormatan besar apabila dipilih menjadi pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Pemilihan pemenang dua pingat emas Paralimpik itu dianggap pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangannya kepada sukan negara, menyaksikan dia akan mengetuai perarakan kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan di Glasgow, Scotland pada 23 Julai ini.

Pengumuman tersebut dibuat Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd. Nasir Ali selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Selain Abdul Latif, atlet boling padang No.1 dunia, Emma Firyana Saroji turut diberikan tanggungjawab penting apabila dipilih sebagai pembawa baton kontinjen negara.

“Kontinjen Sukan Komanwel melibatkan 104 orang keseluruhan, termasuk 59 atlet serta 45 pegawai pasukan. Pembukaan akan berlangsung pada 23 Julai ini dan Datuk Abdul Latif Romly akan menjadi pembawa bendera kontinjen.

“Sementara itu, pembawa baton untuk kontinjen nanti adalah Emma Firyana Saroji yang merupakan atlet boling padang No.1 dunia,” katanya.

Untuk temasya kali ini, Malaysia akan menghantar kontinjen seramai 104 orang yang terdiri daripada 59 atlet serta 45 pegawai pasukan bagi menggalas cabaran negara sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Daripada jumlah atlet tersebut, seramai 41 adalah atlet lelaki manakala 18 lagi merupakan atlet wanita yang akan bersaing dalam pelbagai acara yang disertai negara.

Mohd. Nasir turut memaklumkan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Khamis ini (16 Julai).

Sukan Komanwel Glasgow 2026 tampil dalam format berbeza apabila hanya mempertandingkan 10 jenis sukan, berbanding jumlah yang lebih besar pada edisi-edisi terdahulu.

Malaysia pula akan mengambil bahagian dalam lapan jenis sukan selain enam sukan para yang dipertandingkan secara bersepadu, sekali gus memberi peluang kepada atlet normal dan para berkongsi pentas dalam temasya berprestij itu.

Cabaran kontinjen negara kali ini dijangka lebih mencabar berikutan beberapa sukan yang sebelum ini menjadi penyumbang utama pingat emas tidak dipertandingkan di Glasgow.

Pada edisi Birmingham 2022, Malaysia membawa pulang tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa, namun empat daripada tujuh emas tersebut hadir menerusi sukan yang tidak disenaraikan dalam program pertandingan kali ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nasir turut mengesahkan Malaysia akan menyertai 28 daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN