KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih renang kebangsaan, Michael Kinross mula membentuk identiti baharu skuad negara dengan memberi penekanan terhadap aspek mentaliti dan budaya kerja sejak mengambil alih tanggungjawab mengendalikan pasukan kira-kira dua bulan lalu.
Menurutnya, antara perkara paling penting yang mahu diterapkan ialah menanam rasa bangga dalam kalangan atlet setiap kali mereka diberi peluang menggalas cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kami mahu setiap atlet benar-benar menghargai peluang mewakili Malaysia dan sentiasa meletakkan kepentingan negara di hadapan. Apabila mereka memakai topi renang Malaysia, mereka perlu sedar betapa besarnya tanggungjawab itu.
“Kami juga mahu mereka memahami bahawa bukan sahaja bekas-bekas perenang negara menjadi contoh, malah ada generasi muda yang sedang memerhatikan mereka dan berharap dapat mengikut jejak langkah mereka suatu hari nanti,” katanya.
Dalam masa sama, Kinross turut menekankan aspek teknikal dalam latihan harian bagi memastikan setiap atlet tampil lebih bersedia apabila turun beraksi di kejohanan.
Katanya, latihan kini lebih tertumpu kepada kawalan bilangan kayuhan serta simulasi perlumbaan supaya semua elemen teknikal dapat disempurnakan lebih awal sebelum hari pertandingan.
“Ketika latihan, kami memberi perhatian kepada bilangan kayuhan dan situasi perlumbaan supaya semua perkara teknikal dapat dikuasai lebih awal.
“Apabila tiba hari pertandingan, mereka tidak perlu lagi memikirkan soal teknik kerana segala persediaan sudah dibuat ketika latihan dan mereka hanya perlu memberi fokus untuk berenang sebaik mungkin,” katanya.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini dengan Malaysia mempertaruhkan empat perenang iaitu Khiew Hoe Yean, Jayden Tan, Ananda Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh Chahal. – UTUSAN










