PETALING JAYA: Olahraga Malaysia (MA) meletakkan sasaran agar dua wakil negara, Muhammad Irfan Shamsuddin dan Grace Wong melakukan catatan terbaik peribadi masing-masing pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland yang membuka tirai hari ini.
Jaguh lempar cakera negara, Irfan dan atlet baling tukul besi wanita kebangsaan, Grace muncul sebagai dua atlet olahraga Malaysia yang layak secara merit ke temasya berprestij itu selepas berada dalam kelompok 10 terbaik negara-negara Komanwel bagi acara masing-masing.
Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim berkata, badan induk itu hanya menghantar atlet yang benar-benar memenuhi piawaian kelayakan dan tidak menetapkan sasaran pingat buat kedua-dua atlet berkenaan.
“Hanya atlet yang layak sahaja kita hantar. Dalam kriteria kelayakan itu, dua atlet kita sahaja yang layak iaitu Grace dan Irfan.
“Kita tidak meletakkan sasaran pingat. Apa yang kita jangkakan adalah kedua-dua mereka dapat melakukan catatan terbaik peribadi (PB), kerana jika mereka berjaya mencatat PB, ia juga akan menjadi rekod kebangsaan yang baharu,” katanya.
Nurhayati berkata, piawaian Required Quality Standard (RQS) yang ditetapkan mensyaratkan atlet berada dalam kelompok 10 terbaik dalam kalangan negara Komanwel untuk melayakkan diri ke temasya tersebut.
“Kita tidak boleh membandingkan ranking Komanwel dengan Asia kerana negara-negara Komanwel turut membabitkan kuasa besar olahraga seperti negara dari Afrika dan negara lain yang memiliki tahap persaingan sangat tinggi.
“Sebab itu piawaian yang digunakan ialah kedudukan 10 terbaik. Jika mereka pergi ke Glasgow dan berjaya melakukan catatan terbaik peribadi sekali pun, ia sudah cukup membanggakan kerana akan menghasilkan rekod kebangsaan baharu,” katanya.
Irfan berada di kedudukan terbaik menjelang temasya itu apabila dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri selepas melakukan lontaran sejauh 62.87 meter (m) pada Kejohanan Nemzetkozi Atletikai Balatkn Bajnoksag di Vesprem, Hungary, 20 Jun lalu.
Rekod kebangsaan acara tukul besi wanita masih milik Grace selepas melakukan catatan 65.41m ketika beraksi di Sukan SEA 2025 malah dia turut melakukan balingan 61.98m untuk menjuarai Terbuka Malaysia, bulan lalu. – UTUSAN










