DALLAS: Perjalanan Cristiano Ronaldo di pentas Piala Dunia 2026 berakhir selepas Portugal tersingkir di pusingan 16 selepas tewas 0-1 kepada Sepanyol, awal pagi tadi.
Mikel Merino yang baru enam minit berada di atas padang muncul wira apabila menyempurnakan hantaran Ferran Torres pada minit pertama masa kecederaan untuk memecahkan kebuntuan dalam aksi di Stadium Dallas.
Kemenangan itu menyaksikan juara Eropah berkenaan mara ke suku akhir dan bakal berdepan pemenang pertemuan antara tuan rumah, Amerika Syarikat dan Belgium di Los Angeles, Jumaat ini.
Kekalahan itu turut menandakan berakhirnya karier Ronaldo di Piala Dunia selepas penyerang berusia 41 tahun itu sebelum ini mengesahkan edisi 2026 adalah penampilan terakhirnya di kejohanan berprestij tersebut.
Bekas bintang Real Madrid itu dilihat menahan sebak sebaik wisel penamat ditiup kerana gagal merealisasikan impian peminat pada edisi kali ini.
Kapten Sepanyol, Rodri memuji kematangan yang dipamerkan rakan sepasukannya dalam menghadapi tekanan sepanjang perlawanan.
Sepanyol hampir membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi Mikel Oyarzabal, namun percubaannya tersasar walaupun hanya berdepan penjaga gol Portugal, Diogo Costa.
Ronaldo turut memiliki peluang terbaiknya pada babak pertama menerusi rembatan dari sudut sempit, namun berjaya ditepis penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.
Portugal hampir mendahului sebelum rehat apabila percubaan Nuno Mendes terkena kepala pertahanan Sepanyol, Pedro Porro sebelum bola singgah di palang gol.
Bagaimanapun, kecederaan yang menimpa Mendes pada minit ke-56 menjejaskan rentak Portugal, manakala keputusan Roberto Martinez mengekalkan Ronaldo sehingga tamat perlawanan gagal memberikan impak yang diharapkan.
Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Merino muncul wira dengan penyudah tenang yang memastikan Sepanyol terus menghidupkan impian menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan pada 2010.- AGENSI










