PETALING JAYA: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) lega apabila atlet harapan negara, Mohamad Aznil Bidin semakin pulih daripada kecederaan menjelang cabaran di Sukan Komanwel Glasgow yang membuka tirai pada 26 Julai ini.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, tahap pemulihan Aznil kini sudah mencecah kira-kira 85 peratus, sekali gus memberi keyakinan bahawa pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu mampu tampil pada prestasi terbaik apabila saingan bermula.
Katanya, kecederaan yang dialami Aznil sebelum ini agak serius, namun proses pemulihan berjalan mengikut perancangan dan tidak dijangka menjejaskan peluang atlet berusia 27 tahun itu untuk menggalas cabaran negara.
“Kita melihat walaupun masih dalam proses penyembuhan, tahap pemulihan Aznil sudah mencapai 85 peratus.
“Kita berharap apabila kejohanan bermula nanti, kecederaan itu tidak menjejaskan prestasinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ayub berkata, ketika ini semua atlet, jurulatih dan pegawai PABM sedang menjalani fasa terakhir persiapan di Turki sebelum berlepas ke Glasgow dengan sasaran membawa pulang tiga pingat emas.
Malah, beliau mendedahkan sasaran dalaman badan induk itu sebenarnya lebih tinggi daripada jumlah yang dikemukakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), namun enggan meletakkan tekanan tambahan kepada barisan atlet.
“Kita memang menyasarkan tiga pingat emas seperti dimaklumkan kepada MSN tetapi secara dalaman sasaran kita lebih tinggi.
“Kita mengharapkan ada keajaiban berlaku dan mampu mencipta sejarah baharu buat sukan angkat berat Malaysia,” ujarnya.
Sebelum ini, Aznil meraih emas dalam kategori 62 kilogram (kg) pada edisi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan mengulangi pencapaian sama dalam kategori 61kg pada Sukan Komanwel di Birmingham empat tahun lalu. – UTUSAN










