SEATTLE: Hasrat Amerika Syarikat (AS) untuk melangkah jauh dalam kempen Piala Dunia 2026 lebur selepas diratah Belgium 1-4 dalam aksi pusingan 16 terbaik, sebentar tadi.
Perlawanan membabitkan pasukan tuan rumah itu dicemari kontroversi penggantungan kad merah Folarin Balogun, yang dibenarkan beraksi selepas campur tangan Presiden AS, Donald Trump.
Kemenangan bergaya di Stadium CenturyLink Field itu menyaksikan Belgium menempah slot suku akhir untuk menentang gergasi Eropah, Sepanyol.
Sebaliknya bagi AS, mereka terpaksa akur mengikut jejak langkah dua lagi rakan penganjur, Kanada dan Mexico yang terlebih dahulu tersingkir daripada kejohanan.
Sebelum sepak mula, tumpuan peminat bola sepak global terarah kepada keputusan mengejut Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan penggantungan satu perlawanan Balogun selepas campur Trump.
Biarpun keputusan berkenaan memberi kelebihan kepada AS, pengendali Belgium, Rudi Garcia, membuktikan beliau mempunyai pelan tersendiri apabila berani merehatkan tonggak utama seperti Kevin De Bruyne dan Jeremy Doku, lalu meletakkan kepercayaan kepada Charles De Ketelaere.
Percaturan Garcia membuahkan hasil seawal minit kesembilan apabila De Ketelaere mudah menolak masuk hantaran lintang Nicolas Raskin, sekali gus membungkam sorokan penyokong tuan rumah.
AS cuba bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi sepakan percuma Malik Tillman yang terbias terkena benteng Belgium sebelum menerjah jaring.
Namun, kegembiraan skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu tidak bertahan lama.
Hanya selang tiga minit kemudian, De Ketelaere sekali lagi meletakkan Belgium di hadapan apabila menanduk masuk hantaran Leandro Trossard selepas memenangi pertarungan udara dengan pertahanan veteran AS, Tim Ream.
Memasuki babak kedua, Pochettino melakukan perubahan taktikal dengan meletakkan Gio Reyna di posisi perancang, namun malapetaka sebaliknya menimpa AS pada minit ke-57 akibat kesilapan benteng sendiri.
Penjaga gol AS, Matt Freese, melakukan kesilapan fatal apabila gagal mengeluarkan bola dengan kemas di luar kotak penalti sebelum dicuri oleh De Ketelaere, yang kemudiannya mengumpan kepada Hans Vanaken untuk merembat mudah ke gawang yang terbuka luas.
Peluang AS untuk bangkit terus terkubur apabila bintang utama mereka, Christian Pulisic, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan beberapa minit kemudian.
Pemain gantian veteran Belgium, Romelu Lukaku, melengkapkan hari gemilang Belgium dengan gol keempat pada masa kecederaan selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Chris Richards, sekali gus memastikan kepulangan awal skuad AS dari bumi sendiri.- AGENSI










