Fatin terlepas rangkul emas Piala Dunia

Fatin terlepas rangkul emas Piala Dunia

Fatin Nurfatehah Mat Salleh meraih pingat perak manakala Ella Gibson dari Great Britain merangkul emas dan pemanah India, Prithika Pradeep gangsa. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penantian lebih sedekad pemanah compound wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh untuk kembali beraksi di pentas final individu akhirnya berbalas apabila menghadiahkan pingat perak pada Peringkat Keempat Piala Dunia Memanah di Madrid, Sepanyol, kelmarin.

Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Fatin memulakan kempen dengan aksi kurang meyakinkan apabila sekadar menduduki tangga ke-35 dalam pusingan kelayakan sebelum bangkit mempamerkan prestasi cemerlang sehingga mara ke perlawanan akhir.

Bagaimanapun, impian pemanah berusia 33 tahun itu untuk meraih emas tidak kesampaian apabila tewas 145-148 kepada wakil Great Britain, Ella Gibson yang tampil lebih konsisten dalam aksi penentuan.

Fatin berkata, beliau tidak pernah meletakkan sasaran terlalu tinggi sepanjang kejohanan, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada setiap panahan seperti yang dilakukan ketika sesi latihan.

“Bagi acara individu, sasaran saya hanyalah untuk menghasilkan skor yang hampir sama seperti ketika latihan dan selebihnya saya berserah kepada Allah. Saya hanya fokus kepada satu demi satu anak panah.

“Alhamdulillah, pendekatan itu membawa saya ke kelompok empat terbaik sebelum berjaya melangkah ke perlawanan akhir,” katanya.

Mengulas kejayaan meraih pingat perak, Fatin mengakui berpuas hati kerana menyedari lawannya berada pada prestasi terbaik, selain menganggap pencapaian itu cukup bermakna selepas kali terakhir beraksi dalam penentuan pingat individu pada 2015.

“Saya gembira dengan keputusan ini kerana saya tahu lawan saya berada pada tahap yang sangat baik dan tugas saya hanyalah memberikan tentangan terbaik. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan sendiri.

“Kali terakhir saya beraksi dalam penentuan pingat individu ialah pada 2015 di Shanghai bagi perebutan gangsa, namun tewas. Selepas lebih sedekad, akhirnya saya berjaya kembali beraksi di pentas final,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pencapaian di Madrid sebagai bukti kesabaran dan ketabahan membuahkan hasil meskipun memulakan saingan dengan kedudukan yang kurang memberangsangkan dalam pusingan kelayakan.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara beregu campuran berakhir lebih awal apabila Fatin bersama gandingannya, Juwaidi Mazuki tewas tipis 155-156 kepada pasangan Turkiye pada pusingan 1/12. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN