PETALING JAYA: Tiada siapa menyangka perjalanan Muhammad Erry Hidayat untuk menghadiahkan pingat emas ketiga buat Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 bermula dengan detik mendebarkan apabila hampir tersingkir seawal acara snatch, semalam.
Badang negara berusia 27 tahun itu bagaimanapun membuktikan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada tekanan sebelum menamatkan saingan kategori 79 kilogram (kg) lelaki dengan dua rekod temasya menerusi angkatan keseluruhan 331kg dan 184kg dalam acara clean & jerk, manakala 147kg bagi acara snatch.
“Perasaan saya sangat gembira kerana ini merupakan salah satu impian saya sejak mula menceburkan diri dalam angkat berat. Saya bukan cakap nak masuk Olimpik tetapi mahukan emas Komanwel kerana mahu ikut jejak langkah ayah.
“Selepas tiga temasya dan selama 12 tahun, akhirnya saya dapat pingat emas. Saya sudah tunaikan janji kepada ayah untuk mendapatkan pingat emas, jadi akan cuba lebih baik lagi pada temasya akan datang,” katanya.
Pada aksi di SEC Armadillo awal pagi semalam, Erry terlebih dahulu mencemaskan kem negara apabila gagal menyempurnakan dua percubaan awal dalam acara snatch sebelum berjaya mengangkat 147kg pada percubaan terakhir untuk terus menghidupkan peluang memburu emas.
Momentum itu diteruskan dalam acara clean & jerk apabila angkatan 184kg pada percubaan terakhir bukan sahaja menghadiahkan emas, malah memadam rekod temasya untuk memastikan dia menewaskan pencabar dari India, Valluri Ajaya Babu yang meraih perak dengan jumlah angkatan 330kg, manakala Chris Murray dari England membawa pulang gangsa menerusi 325kg.
“Ketika snatch memang berdebar kerana jika gagal melakukan angkatan ketiga, saya akan tersingkir. Bagaimanapun, sorakan yang bergema di stadium membuatkan saya bersemangat dan saya sentiasa berpesan kepada diri sendiri supaya kekal tenang.
“Angkatan penentu emas pula memang menjadi detik bermakna kerana ini adalah impian saya. Jurulatih juga beri kata-kata semangat bahawa saya perlu menunggu empat tahun lagi jika gagal melakukan angkatan itu dan syukur saya berjaya melakukannya,” katanya.
Kejayaan itu turut melengkapkan penantian panjang Erry selepas gagal menghadiahkan emas dalam dua penampilan terdahulu, sekali gus membolehkannya mengikut jejak langkah bapanya, Hidayat Hamidon yang muncul juara Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Lebih manis, kejayaan Erry memastikan skuad angkat berat terus muncul penyumbang utama kontinjen negara di Glasgow apabila menghadiahkan pingat emas ketiga Malaysia, sekali gus mengukuhkan peluang merealisasikan sasaran lima emas pada temasya kali ini. – UTUSAN










