DALLAS: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui kecewa dengan beberapa keputusan pengadil ketika anak buahnya tewas 0-2 kepada Sepanyol pada separuh akhir Piala Dunia 2026.
Perancis sebelum ini mempamerkan aksi mengagumkan sepanjang kejohanan dengan meledak 16 gol dalam enam perlawanan sehingga dibandingkan dengan beberapa pasukan terbaik dalam sejarah Piala Dunia.
Namun impian Les Bleus memburu gelaran dunia kali ketiga musnah selepas gagal menandingi kehebatan Sepanyol yang menguasai permainan.
“Sudah tentu kami amat kecewa. Pemain remuk hati kerana kami mempunyai cita-cita yang besar, tetapi pada masa sama kami perlu realistic.
“Kami perlu mengakui hari ini kami berada satu tahap di bawah dari segi teknikal berbanding pasukan yang mengawal permainan dengan baik.
“Tetapi pertama sekali, ia adalah kesalahan kami sendiri. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,” katanya.
Bagaimanapun, Deschamps tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil dari El Salvador, Ivan Barton yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol selepas Lucas Digne menjatuhkan Lamine Yamal pada babak pertama.
“Saya akan bertanya satu soalan yang sensitif dan saya tidak akan menjawabnya.
“Adakah pengadil itu berada pada tahap yang diperlukan untuk mengadili perlawanan separuh akhir Piala Dunia?
“Saya tidak berkata demikian hanya kerana kami tewas hari ini. Terdapat beberapa situasi yang berlaku. Ada juga keputusan yang tidak memihak kepada kami,” katanya tanpa memperincikan perkara berkenaan. –AGENSI










