Alyssa sedia gugat Finucane di Glasgow

Alyssa sedia gugat Finucane di Glasgow

Nur Alyssa Mohd Farid akan dipertaruh untuk memberi cabaran dalam acara keirin dan pecut di Sukan Komanwel 2026. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba basikal trek wanita negara, Nur Alyssa Mohd Farid bertekad mencabar jaguh Great Britain, Emma Finucane sambil memburu catatan masa terbaik pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Pelumba berusia 20 tahun itu berkata, peluang berdepan antara nama terbesar dalam acara pecut dunia adalah medan paling tepat untuk mengukur sejauh mana tahap kemampuannya bersaing di pentas antarabangsa.

Alyssa berkata, dia langsung tidak dibebani tekanan menjelang temasya itu, malah menganggap penyertaan kali pertama di Sukan Komanwel sebagai pengalaman yang dinanti-nantikan sepanjang kariernya.

“Saya sangat teruja kerana ini adalah penampilan pertama saya di Sukan Komanwel. Tiada tekanan, sebaliknya saya mahu menikmati perlumbaan dan memberikan aksi terbaik.

“Sasaran utama saya adalah memperbaharui rekod peribadi 10.6 saat, selain cuba memberi saingan kepada pelumba hebat seperti Emma,” katanya.

Atlet kelahiran Selangor itu akan membawa cabaran Malaysia dalam dua acara iaitu keirin dan pecut pada temasya yang berlangsung di Glasgow dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

Keyakinan Alyssa semakin meningkat apabila mengesahkan tahap kecergasannya kini berada pada prestasi terbaik hasil program latihan intensif yang dijalani sejak beberapa bulan lalu.

Malah, dia kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kiri yang dialami pada awal tahun, sekali gus kembali berada di landasan tepat menjelang kejohanan terbesar itu.

Kebangkitan tersebut turut dibuktikan apabila Alyssa meraih pingat emas acara keirin elit pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 2 di Velodrom Nasional pada Januari lalu.

Berbekalkan momentum itu, Alyssa berharap dapat mempamerkan kayuhan terbaik di Glasgow dengan misi memperbaiki catatan peribadi dan pada masa sama menguji keupayaannya menentang kelompok pelumba elit dunia yang diketuai Finucane.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN