PETALING JAYA: Pentas akhir Super Schools Rugby (SSR) 2026 akhirnya menemukan dua kuasa besar ragbi sekolah negara apabila Victoria Institution (VI) dan SMS Hulu Selangor (SEMASHUR) mengesahkan tempat ke final selepas mencatat kemenangan bergaya dalam aksi separuh akhir di Stadium UiTM, Shah Alam, semalam.
Pertembungan itu bukan sekadar menentukan juara baharu, malah bakal menjadi medan perebutan sejarah apabila kedua-dua pasukan berpeluang muncul sebagai pasukan pertama yang merangkul tiga kejuaraan SSR sejak kejohanan berprestij itu diperkenalkan pada 2013.
Lebih menarik, final kali ini turut menghidupkan semula memori Grand Final SSR 2023 yang menyaksikan VI muncul juara selepas menewaskan SEMASHUR dalam satu perlawanan yang masih segar dalam ingatan peminat ragbi sekolah tanah air.
Tiga tahun kemudian, kedua-dua gergasi itu kembali bertemu dengan misi yang jauh lebih besar.
Dalam aksi separuh akhir pertama, VI mempamerkan karakter juara apabila menyingkirkan juara bertahan, MRSM Balik Pulau (MRSMBP), menerusi kemenangan mendebarkan 34-27.
Keputusan itu sekali gus membalas kekecewaan mereka selepas tewas kepada lawan yang sama dalam perlawanan akhir musim lalu.
Pertarungan berlangsung dalam tempo tinggi sejak minit pertama dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun pengalaman dan ketenangan pemain VI ketika detik-detik genting menjadi pemisah yang membawa mereka kembali ke pentas final.
Pemain terbaik perlawanan, Indra Putra Shahrulnizam muncul wira apabila menyumbang 19 mata menerusi siri sepakan tepat dan penyudah berkualiti.
Kemenangan tersebut bukan sahaja mengembalikan maruah VI, malah membawa mereka ke final SSR buat kali keempat dalam sejarah penyertaan pasukan itu, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai antara pasukan paling konsisten dalam kejohanan.
Sementara itu, SEMASHUR pula menepati status sebagai antara pasukan pilihan apabila menundukkan cabaran Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) 41-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Walaupun SDAR mempamerkan semangat juang tinggi dalam penampilan sulung mereka di pentas empat terbaik, pengalaman dan disiplin permainan SEMASHUR ternyata berada pada tahap berbeza.
Muhammad Uwais Irfan menjadi watak penting kemenangan tersebut apabila mengemudi jentera serangan pasukan dengan cemerlang.
Keupayaannya mengawal tempo permainan, mencipta ruang dan membuka peluang kepada rakan sepasukan memastikan SEMASHUR mendominasi perlawanan sebelum mengesahkan tempat ke final buat kali kelima, rekod terbanyak dalam sejarah SSR.
Kini, pentas sudah tersedia untuk satu lagi pertembungan klasik menyaksikan VI dan SEMASHUR masing-masing memiliki dua gelaran juara.
Kedua-dua pasukan berkenaan mempunyai tradisi kemenangan yang tersendiri dan masing-masing hanya dipisahkan 60 minit daripada mencipta sejarah.-UTUSAN










