PETALING JAYA: Ratu karate negara, C. Shahmalarani bakal menguji kemampuannya di Kejohanan Karate Asia Senior Ke-22 yang akan membuka tirai di Indonesia esok sebelum menghadapi Sukan Asia di Aichi-Nagoya pada September ini.
Atlet berusia 28 tahun itu berkata, kejohanan di Bali itu bukan sekadar misi memburu pingat, sebaliknya platform untuk menilai keberkesanan latihan serta mengenal pasti kelemahan sebelum Sukan Asia.
“Fokus saya adalah untuk beraksi sebaik mungkin. Menang atau kalah dalam karate sangat subjektif.
“Sasaran utama saya ialah mengekalkan prestasi dan jika ada rezeki, naik ke podium,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemenang pingat emas di Sukan SEA 2025 itu juga berkata, kem latihan intensif selama dua minggu di Georgia nyata memberi perbezaan yang ketara dari segi rutin latihannya.
“Kem di Georgia sangat membantu kerana gaya latihan di Eropah lebih agresif dan memberi cabaran baharu berbanding Asia Tenggara, katanya.
Tambahnya, beliau turut mengakui corak permainan kini semakin diperhatikan lawan selepas kejayaan di Sukan SEA lalu, memaksa beliau lebih taktikal dan berhati-hati di gelanggang.
“Sekarang saya tidak boleh bermain seperti dahulu. Lawan sudah mula ‘mengunci’ teknik saya. Jadi saya perlu lebih bijak dan berubah,” katanya.
Mengulas tekanan menjelang Sukan Asia, Shahmalarani menegaskan beliau memilih pendekatan lebih tenang tanpa meletakkan sasaran melampau.
“Sukan Asia pertama saya dulu saya terlalu meletakkan tekanan. Kali ini saya pergi dengan mindset ‘nothing to lose’. Saya hanya mahu beri persembahan terbaik,” ujarnya. – UTUSAN










