LOS ANGELES: Kapten Argentina, Lionel Messi memulakan Piala Dunia keenam dengan penuh bergaya apabila meledak hatrik untuk membantu juara bertahan itu menewaskan Algeria 3-0 dalam aksi Kumpulan J, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Arrowhead yang dipenuhi lebih 69,000 penonton itu, Messi mempamerkan aksi memukau untuk menyamai rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia milik legenda Jerman, Miroslav Klose dengan 16 gol.
Pemain berusia 38 tahun itu terlebih dahulu mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia selepas mengetuai Argentina turun ke padang dalam penampilan antarabangsa ke-200 bersama negaranya.
Messi yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia ketika berusia 18 tahun pada edisi 2006 di Jerman kemudian membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri dengan menjaringkan hatrik pertama dalam karier Piala Dunianya.
Gol pertama hadir pada minit ke-17 menerusi rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol Algeria.
Jaringan itu membolehkan beliau mengumpul 14 gol Piala Dunia, menyamai rekod legenda Jerman, Gerd Muller serta bintang Perancis, Kylian Mbappe.
Messi kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-60 selepas pantas menyambar bola muntah hasil percubaan Alexis Mac Allister.
Gol tersebut meletakkannya di hadapan Muller dan Mbappe, sekali gus menyamai rekod 15 gol milik legenda Brazil, Ronaldo Nazario.
Bintang Argentina itu melengkapkan hatrik pada minit ke-76 menerusi penyudah rendah dari luar kawasan penalti untuk menyamai rekod Klose dengan 16 gol.
Empat minit kemudian, Messi dikeluarkan dan menerima tepukan gemuruh serta penghormatan berdiri daripada ribuan penyokong yang memenuhi stadium.
Argentina, yang menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti dalam final epik Piala Dunia 2022 di Doha selepas terikat 3-3, sekali lagi menunjukkan mereka adalah antara pencabar utama untuk mempertahankan gelaran.- AGENSI










